Info Pendidik

Maklumat dan berita berkaitan dengan dunia pendidikan

Name: Guru Maya

Friday, February 03, 2006

Kilasan: Kekurangan guru khusus sukar diatasi jika abai prosedur

Oleh Ibrahim Saad

AMAT membanggakan apabila semua sekolah cukup guru. Baru-baru ini, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan bahawa semua sekolah kerajaan, rendah dan menengah tidak menghadapi masalah kekurangan guru.

Kenyataan itu menamatkan masalah kekurangan guru yang gagal diatasi sejak sekian lama, walaupun pelbagai strategi dilaksanakan.Kejayaan itu adalah hasil perancangan berkesan dan kebijaksanaan Kementerian Pelajaran melalui Bahagian Pendidikan Guru (BPG) dalam melatih guru setiap tahun bagi memenuhi permintaan baru dan mengganti guru bersara.

Sementara itu, BPG pula tidak menghadapi masalah memilih calon guru pelatih kerana sejak beberapa tahun kebelakangan, jumlah pemohon melebihi 60,000 setiap kali pengambilan berbanding sekitar 8,000 tempat ditawarkan. Jika dulu BPG sukar mendapat calon bagi mata pelajaran tertentu, tetapi sekarang jumlah yang layak lebih daripada mencukupi untuk semua pengkhususan, termasuk subjek yang suatu ketika dikategorikan sebagai kritikal.

Faktor ini membantu mengatasi masalah kekurangan guru. Namun di sebalik kenyataan itu, kita mendengar ada sekolah, terutama di luar bandar masih menghadapi masalah guru, manakala di kawasan tertentu ada sekolah mempunyai lebihan guru.Bagaimanapun, kekurangan dihadapi bukan dari segi bilangan guru tetapi pengkhususan.

Kebanyakan sekolah di luar bandar masih tidak mempunyai bilangan guru yang cukup untuk subjek tertentu seperti Bahasa Inggeris dan beberapa mata pelajaran sains seperti Fizik dan Kimia. Sebaliknya sekolah mempunyai guru berlebihan bagi subjek seperti Bahasa Melayu dan sastera.Jadi apabila sekolah masih menghadapi masalah tidak cukup guru untuk mata pelajaran tertentu, kita boleh beranggapan bahawa masih wujud kekurangan guru di sekolah.

Jadi adakah BPG tidak mempunyai pengunjuran dari segi pengambilan guru pelatih?Persoalannya bukan silap pengunjuran, tetapi masalah penempatan iaitu jumlah yang sepatutnya dihantar ke luar bandar tidak menepati nisbah ditetapkan. Ini berlaku kerana dua faktor utama. Pertama, disebabkan pengambilan ramai guru pelatih perempuan. Ramai di kalangan mereka tidak dapat dihantar ke luar bandar seperti dirancang kerana status perkahwinan. Guru perempuan diberi keutamaan mengikut suami.

Jadi ramai berebut berkahwin awal, terutama bukan sesama guru untuk mengelakkan dihantar ke pedalaman, termasuk kawasan tertentu di Sabah dan Sarawak. Selain itu, ramai di kalangan profesional lain suka memilih guru sebagai isteri kerana faktor tertentu, antaranya memberi kemudahan kepada suami seperti kerja separuh hari dan cuti panjang.

Kedua, masalah pengaruh. Ramai menggunakan hubungan atau ‘kabel’ untuk mempengaruhi penempatan. Campur tangan pihak berpengaruh menyebabkan perancangan asal menempatkan seseorang guru terpaksa dirombak. Malah ada guru pelatih yang sudah mendapat penempatan, tetapi kerana kuat kabelnya, penempatan asal di luar bandar itu ditarik balik dan diganti dengan penempatan baru di bandar.

Kementerian Pelajaran seharusnya menangani masalah ini dengan segera. Atasi masalah itu dengan menambah pengambilan pelatih lelaki. Dalam keadaan permohonan berlebihan sekarang, masalah memilih pelatih lelaki tidak rumit lagi. Tidak mengapa walaupun ada antara mereka kurang cemerlang akademik, asalkan tidak di bawah syarat minimum ditetapkan. Bagi menangani masalah penggunaan kabel, ia seharusnya dilaksanakan secara strategik melalui dua pendekatan.Pertama, guru pelatih dan keluarga hendaklah diberi kesedaran mengenai tanggungjawab sosial sebagai guru.

Perkhidmatan mereka untuk tempoh tertentu diperlukan di sekolah pedalaman. Jika perlu, masukkan syarat bertulis bahawa guru baru boleh dihantar ke mana-mana saja untuk tempoh beberapa tahun. Mereka tidak boleh menolak.Kedua, pihak yang ada kuasa dan pengaruh hendaklah dilarang sama sekali menggunakan pengaruh serta kedudukan untuk mencampuri hal ehwal penempatan guru baru.

Ini termasuk pembabitan tokoh politik dan pegawai dalam Kementerian Pelajaran daripada yang rendah sampailah ke peringkat paling tinggi. Perkara ini sukar dilaksanakan tetapi tidak mustahil. Justeru Kementerian Pelajaran hendaklah mencari pendekatan bijaksana dan tegas. Salah satu cara praktikal ialah mengamalkan kaedah penempatan guru baru secara telus dan terbuka. Sebarang rayuan tidak diterima kecuali kes yang tulen diberi pertimbangan.

Itupun terpaksa melalui panel rayuan khas yang ditubuhkan untuk menimbang kes rayuan, bukan budi bicara orang tertentu. Dasar tegas mengikut prosedur ditetapkan akan mewujudkan sistem penempatan adil, sekali gus dapat mengatasi masalah kekurangan guru di sekolah tertentu di pedalaman. Tanpa tindakan drastik, masalah kekurangan guru dalam situasi guru mencukupi ini akan berterusan tanpa penghujung.